Rabu, September 10, 2014

Kertas Sains UPSR bocor: TPM minta maaf

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa kertas Sains 018, 028, 038 Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijadualkan esok didapati bocor dan peperiksaannya ditangguhkan.
Kertas Sains 018 adalah untuk sekolah kebangsaan manakala sekolah jenis kebangsaan Cina (028) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (038).
Dalam satu kenyataannya di sini hari ini, lembaga itu memberitahu, sehubungan itu peperiksaan bagi ketiga-tiga kertas itu ditangguhkan pada 30 September.
Kenyataan itu juga berkata, berdasarkan siasatan awal pihak lembaga berkenaan, kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut telah tersebar meluas menerusi media sosial.
"Lembaga Peperiksaan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang," kata kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE

TUMPAT 10 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan ibu bapa mereka berhubung kertas soalan Sains yang didapati bocor dan penangguhannya kepada 30 September ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berharap penangguhan peperiksaan bagi kertas tersebut tidak menggangu tumpuan para calon.
"Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian Pendidikan telah melaporkan perkara itu kepada pihak polis untuk siasatan terperinci dan berharap perkara tersebut tidak akan berulang lagi," katanya. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan