Khamis, Julai 24, 2014

Kampus Kiandongo terus memecut


Ini merupakan Tahun ke 4 kampus kiandongo dilaksanakan dan ia telah dilaksanakan sejak tahun 2011 lagi, setiap tahun program ini ditambahbaik. Dan bagi tahun ini, 2014 program ini melibatkan dua fasa dan keseluruhan program mengambil masa 9 minggu dimana fasa 1 empat minggu dan 5 minggu untuk fasa kedua.  Menurut pengarah program, En. Aizuddin Ashraf bin Che Mohd, penglibatan aktif semua pihak dalam menjayakan program Kampus Kiandongo fasa pertama  ini termasuk guru-guru amat mengagumkan, paling mencuit hati ialah sumbangan dari ibubapa yang memberi pelbagai sumbangan seperti beras, ayam, minyak masak, gula dan sebagainya. Kesedaran ibubapa atau penjaga di Kampung Kiandongo semakin meningkat dan jauh lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Manakala guru-guru SK Kiandongo pula bertindak sebagai tenaga pengajar  secara sukarela mengikut jadual yang telah ditetapkan.  Murid-murid juga kali ini menunjukkan semangat dan motivasi yang tinggi untuk berjaya. Kita menjangkakan dan berharap keputusan UPSR tahun ini adalah yang terbaik kerana murid-murid mempunyai sikap positif dan keinginan untuk berjaya sangat tinggi, ini dibuktikan dengan terdapat murid-murid yang turut berpuasa bersama-sama guru-guru yang beragama islam dan berbuka bersama mereka.
Program kali ini telah dirangka dengan baik dengan kerjasama semua guru-guru dan pentadbir, selain mengenakan yuran kepada murid-murid yang terlibat, ia turut melibatkan sumbangan ikhlas tenaga pengajarannya serta orang perseorangan dan sebuah syarikat pembekal. Fasa 1 akan berakhir pada 25 Julai ini dan fasa 2 akan bermula pada 4 Ogos ini. Kita berharap dalam masa yang singkat ini,momentum kecemerlangan diteruskan dengan memecut dengan lebih laju. Jika seseorang masuk dalam acara sukan lumba lari, 400 meter, 50 meter yang terakhir dia mesti akan memecut lagi laju, begitu juga konteks belajar,  masa semakin singkat maka masa yang ada harus digunakan dengan sebaik mungkin.
Sementara itu, seorang guru wanita yang bertindak sebagai penyediaan makanan dan minuman untuk murid-murid sepanjang program ini berlangsung berpendapat bahawa murid-murid tahun ini bukan sahaja pandai tetapi mempunyai sikap yang baik, rajin menolong, malah menghormati guru,pandangan beliau turut dikongsi dengan seorang guru Bahasa Malaysia yang turut berpendapat murid-murid tahun ini mempunyai budi peketi yang baik serta rajin. Semoga murid-murid tahun ini memperolehi keputusan yang cemerlang dengan usaha yang telah ditunjuk oleh murid-murid ditambah dengan iringan doa dan harapan dari semua guru-guru, ibubapa, dan semua warga kiandongo tiada yang mustahil untuk mencatatkan keputusan cemerlang pada tahun ini  tambahnya lagi ketika mengakhiri perbualan beliau.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan