Selasa, Mei 06, 2014

FrogVLE : SK Kiandongo Gegarkan Hotel Western

29hb April 2014 - Bertempat di Best Western Hotel, Bandar Leetat, Batu 3.5 Sandakan, bermulalah kisah pembentangan yang memfokuskan amalan terbaik yang dibuat oleh SK Kiandongo sebagai "Champion School" dalam menjalankan aktiviti Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) di sekolah. Majlis Profesionalisma Pengetua dan Guru Besar ini telah  bermula jam 8:00 pagi sehingga jam 4:00 petang. Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Juslie Hj Ajirol Merangkap Ahli Parlimen Libaran. Antara VVIP yang hadir ialah  Yang Berbahagia Datuk Jame Bin Alip, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah dan Tuan Haji Sahirul yang merupakan  Timbalan Presiden YTL Communication. Turut terlibat adalah pegawai-pegawai dari KPM, JPN, para pengetua dan Guru Besar di samping guru-guru daripada Zon Sandakan (Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Telupid). Dianggarkan seramai 600 orang lebih warga dewan yang telah hadir dalam majlis tersebut.
   Tiga buah sekolah yang terlibat dalam pembentangan utama iaitu SMK Elopura Bestari, SMK Beluran Bestari dan SK Kiandongo. Cikgu Masru Mustakim merupakan salah seorang Admin VLE sekolah ini telah membentangkan sebanyak 16 slaid powerpoint beserta 6 aktiviti utama untuk dikongsikan dengan hadirin yang hadir.
    Memetik ucapan beliau yang berbunyi "Sekolah kami merupakan sekolah yang serba kekurangan, malah sekolah yang paling daif jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah yang ada dalam daerah Tongod (Telupid). Malah, sekolah kami tidak memiliki kemudahan komputer dan internet 4G. Kami hanya menggunakan satelit VSat. Memang slow kalau nak dibandingkan dengan internet di bandar. Tapi kami tetap menjalankan VLE dalam PdP kami." 
     Sebagai pembentang terakhir, beliau turut menyatakan perlunya kita sebagai guru mengaplikasikan pembelajaran VLE di dalam kelas. Ianya bukan sahaja menyeronokkan, malah menimbulkan "kesan" yang mendalam dalam diri setiap pelajar."Keseronokan itu bukan sahaja dirasai oleh murid di dalam kelas saya, tetapi turut merebak ke kelas yang lain sehingga mengundang mereka datang ke kelas saya melihat secara langsung.."
    Di dalam FrogStore itu beliau mengatakan terlalu banyak "harta karun" yang perlu diambil oleh guru-guru secara percuma. Tugas guru-guru hanyalah untuk mengagih-agihkan kepada semua murid.Dalam ucapannya yang terakhir, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Frogasia yang menjemput sekolah ini membuat pembentangan. Walaupun dalam keadaann yang serba kekurangan, SK Kiandongo telah membuktikan bahawa sekolah ini juga mampu bersaing di peringkat nasional seperti dibuktikan dengan meraih tempat ke-35 seluruh Malaysia dalam peraduan Wordmania yang telah dianjurkan oleh Frogasia.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan