Selasa, Jun 19, 2012

Akhirnya Rajawali Terbang Tinggi

Rumah Sukan Rajawali atau Rumah Sukan Kuning akhirnya berjaya muncul Juara Keseluruhan Kejohanan Olahraga MSS SK Kiandongo edisi 2012 dengan merangkul 8 Emas, 2 Perak dan 7 Gangsa mengenepikan pesaing lain termasuk dari Rumah Sukan Kasawari (Hijau) yang memperolehi 5 Emas dan 11 Perak. Manakala cabaran juara bertahan dua edisi sebelum ini iaitu Rumah Sukan Cenderawasih (Merah) sekadar di tempat ketiga dengan 4 Emas , 4 Perak dan 5 Gangsa. Atlit Rajawali, Ferlent Philip yang diletakkan di bawah kendalian Cikgu Masru dan Cikgu Aizuddin berjaya dijulang sebagai Olahragawan pada edisi kali ini. Manakala atlit Cenderawasih, Elviuena Jasmi dinobatkan sebagai Olahragawati. Kejayaan kedua-dua atlit ini dianggapkan cukup cemerlang apabila mereka berdua berjaya meraih 3 pingat Emas walaupun baru berusia 10 tahun. Sementara Rumah Sukan Kenyalang (Biru) hanya sekadar meraih 1 Emas, 1 Perak dan 6 Gangsa. Emas tunggal Rumah Kenyalang diraih oleh Nic Denver Petrus. Sebanyak 18 acara telah dipertandingkan pada tahun ini termasuk acara lompat tinggi dan 80m lari berpagar. Di samping itu, 2 acara terbuka turut diadakan bagi memeriahkan edisi pada kali ini. Kejohanan Olahraga MSS SK Kiandongo 2012 yang diadakan pada 18 hingga 19 Jun 2012 telah dirasmikan oleh Pengerusi JKKK Kg. Kiandongo Darat,En. Aim Ansang. Seramai 20 atlit telah dikenalpasti untuk membawa misi untuk mempertahankan kejuaraan MSS Zon Tongod yang dijangka diadakan di Padang Sumilad, Tongod pada 2-3 Julai 2012.