Selasa, Ogos 30, 2011

Selamat Datang Cg. Hedle

SK Kiandongo menerima satu tambahan guru bagi memperkukuhkan organisasi pendidikannya apabila En. Md Hedle @ Welter Abun telah melaporkan diri untuk berkhidmat di sekolah ini mulai 8 Ogos 2011.Beliau mempunyai kepakaran mengajar Kemahiran Hidup dan Pendidikan Seni. Sebagai permulaan , beliau bakal memikul sebagai Guru Kelas Tahun 3 Baiduri.Bagi pihak blog, kami mengucapkan Selamat Datang dan Selamat Berkhidmat buat Cg. Hedle.

Isnin, Ogos 29, 2011

Semarak Kemerdekaan

Pelbagai program telah diadakan sepanjang minggu lalu iaitu sebelum sekolah bercuti bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke 54 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Bagi tahun ini, Program Semarak Kemerdekaan telah diadakan dengan beberapa acara diadakan dan dipertandingkan antara Mengibarkan Jalur Gemilang, Menghiaskan Kelas, Pertandingan Deklamasi Sajak, Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu),Kuiz Kemerdekaan, Pertandingan Mewarna dan Persembahan Lakonan . Pertandingan Mewarna telah diadakan pada 19 Ogos 2011 dengan Saudari Echlinah Philip telah dipilih sebagai pemenang. Saudari Norjianah muncul pemenang bagi acara Pertandingan Deklamasi Sajak dan Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu. Saudari Siti Nursa'adah dijulang sebagai Juara dalam Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris. Sementera itu pasangan Norjianah dan Norfaezah Laidin telah muncul Juara Pertandingan Kuiz Kemerdekaan.

Sentuhan Kalbu Penutup Pecutan Terakhir

Program Pecutan Terakhir diakhiri dengan program motivasi yang disampaikan oleh En. Masru Mustakim dengan penuh keinsafan dan kesayuan dengan harapan para murid tahun 6 mampu memberikan kejayaan yang penuh bermakna bukan sahaja dalam UPSR bahkan kepada masa depan yang mendatang. Program yang berlangsung selama 2 jam 30 minit dipenuhi dengan tayangan video dan ceramah motivasi. Suasana malam yang dingin benar-benar menyentuh hati yang menyebabkan sebahagian besar murid-murid tidak dapat menahan sebak dengan sulaman audio dan visual yang mengamitkan suasana sayu. Pengorbanan ibu bapa, para guru dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung amatlah dihargai.




Selasa, Ogos 23, 2011

Ganjaran RM850 Jadi Buruan

Murid-murid Tahun 6 SK Kiandongo bakal menerima durian runtuh sekiranya mereka berjaya mengapai pencapaian 5A dalam UPSR 2011.Tawaran tersebut susulan kehadiran Ketua Unit Pengurusan Akademik merangkap Timbalan PPD bahagian Pentadbiran dan Akademik, En. Kaipin Hj Sahimin bersempena Majlis Berbuka Puasa dengan Murid Tahun 6 sekolah ini. Ganjaran sedemikian dibuat bagi meningkatkan semangat para murid tahun 6 untuk melipatgandakan usaha mereka dengan lebih progresif bagi memastikan pencapaian terbaik pada tahun 2001 dapat diulang semula. Sebagai rekod, sejak penubuhan sekolah ini pada 1989, hanya seorang murid sekolah ini berjaya mendapat 5A iaitu Noni Mursidi pada tahun 2001.

Khamis, Ogos 11, 2011

Majlis Berbuka Puasa Bersama KU UPA & ICT

Tanggal 11 Ogos 2011 tertulis salah satu catatan peristiwa terindah buat Murid Tahun 6 sesi 2011 apabila SK Kiandongo telah berjaya mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama Yang Berbahagia, En. Kaipin Haji Sahimin (Ketua Unit Pengurusan Akademik, En. Stephen Azmi Raden (Ketua Unit ICT) dan En. Jolius Ladsau (UPA).Majlis Berbuka Puasa diadakan bersempena meraikan Murid Tahun 6 yang bakal mengambil peperiksaan UPSR serta sesi penyampaian Motivasi ringkas oleh Ketua UPA kepada murid tahun 6 bagi mewujudkan satu semangat belajar yang berkobar-kobar bagi memastikan kecemerlangan SK Kiandongo dapat ditingkatkan. Dalam ucapan beliau kepada Murid Tahun 6, En. Kaipin memperakui kehebatan murid-murid sekolah ini dari lapangan akademik mahupun ko-kurikulum setelah mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.




Pengakap : Ikhtiar Hidup

Pada perjumpaan Minggu Ke 11 (10 Ogos 2011), ahli pengakap telah didedahkan dengan aktiviti asas ikhtiar hidup. Seramai 24 orang Pengakap telah hadir pada minggu tersebut yang turut disertai 5 orang ahli PBSMM sekolah ini yang menyelitkan cabaran memancing. Ahli kumpulan telah dipecahkan kepada tiga kumpulan utama iaitu Bagheraa, Rama dan Baloo. Tepat jam 3:30 petang, ahli pengakap telah dibawa menuruni sungai yang berdekatan dengan sekolah ini.Setelah tempoh 1 jam 15 minit berlalu, kumpulan Baloo telah diistiharkan pemenang cabaran pada kali ini dengan berjaya mendapat tangkapan terbanyak dan terberat. Pasukan Rama berpuashati di tempat kedua. Manakala kumpulan Bagheera tidak berjaya memperolehi apa jua jenis

ikan.

Kampus Kiandongo : Pecutan Terakhir

Pecutan Terakhir merupakan program yang berbentuk akademik yang diwujudkan bagi membekalkan ilmu pengetahuan yang secukupnya kepada para murid tahun 6 di dalam menghadapi UPSR. Program yang bermula 8 Ogos 2011 ini akan berlangsung selama 3 minggu akan melibatkan 15 orang murid yang menunjukkan pencapaian yang memuaskan dalam Peperiksaan Percubaan UPSR (Excel 2)baru-baru ini. Murid-murid yang terpilih akan menginap di rumah guru dan sekolah bagi membolehkan kelas tambahan di waktu malam dapat diadakan. Kos makanan dan minuman disediakan dalam kos yang minimun oleh guru-guru yang diketuai oleh Cikgu Anitah Matni. SK Kiandongo menaruh harapan yang tinggi kepada para murid yang terlibat bagi memastikan pencapaian sekolah terus meningkat dari semasa ke semasa. Komitmen para guru kepada murid-murid ini amat dihargai walaupun sedikit bilangan guru di sini namun pengorbanan mereka seluas laut yang terbentang.



Ahad, Ogos 07, 2011

1SK Kiandongo: Sekolah Ceria Murid Sejahtera

Program mengibarkan Jalur Gemilang berserta bendera negeri Sabah menjadi salah satu acara yang diadakan bagi menjayakan program bulan kemerdekaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke 54.Selain mengibarkan Jalur Gemilang, pelbagai acara menarik bakal diadakan antaranya Pertandingan Mewarna Hari Kebangsaan, Kuiz Patriotik,Mewarna Jalur Gemilang dan Mendeklamasikan Sajak. Semoga acara serumpama ini mampu menyemarak semangat cintakan negara. 1Malaysia: Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera. 1 SK Kiandongo: Sekolah Ceria Murid Sejahtera.