Isnin, Julai 26, 2010

Kem Lambaian Ilmu Gegar Perhutanan


Zon Tongod telah mendahului zon-zon lain di Daerah Telupid apabila gabungan 4 buah sekolah di zon terbabit telah berjaya merealisasikan satu program motivasi UPSR yang dipahat dengan nama Kem Lambaian Ilmu 2010. Program ini merupakan kesinambungan program yang pernah dikendalikan pada tahun 2008 di SRK Pekan Tongod. Kem Lambaian Ilmu pada kali ini telah dikendalikan oleh SK Kiandongo sambil dibantu erat oleh SK Sogo-Sogo, SK Imbak dan SRK Pekan Tongod. Seramai 105 murid Tahun 6 dari keempat-empat buah sekolah ini telah hadir bagi merancakkan perjalanan program ini sambil dibantu oleh 27 orang guru dan kakitangan sekolah bagi memastikan perjalanan program berjalan seperti yang diaturkan . Perancangan program yang diaturkan pada sebulan setengah yang lalu berjalan seperti diharapkan walaupun beberapa masalah dari segi logistik,komunikasi dan pengangkutan tetap berlaku. Kerjasama yang erat daripada guru-guru dan kakitangan-kakitangan bukan akademik telah memupuk satu suasana yang mesra dan bersepadu untuk memastikan para peserta kem dapat menghayati matlamat dan objektif program ini.Program ini telah diadakan pada 23 hingga 25 Julai 2010 yang lalu dengan Pejabat Perhutanan Daerah Tongod telah menjadi lokasi pilihan berdasarkan suasana alam sekitar yang lebih unik.

Ceramah Motivasi Menjelang UPSR

Yayasan Sabah sebagai sebuah badan perbadanan di bawah kerajaan negeri Sabah telah tampil membantu menjayakan program motivasi yang dikendalikan oleh pihak SK Sogo-Sogo dengan membuka peluang kepada murid-murid Tahun 6 SK Kiandongo untuk sama-sama melibatkan diri di dalam program penuh bermakna tersebut. Program yang diberi nama "Ceramah Motivasi Menjelang Peperiksaan" telah diadakan pada 20 Julai 2010 bertempat di Bangunan Prasekolah SK Sogo-Sogo telah menyaksikan kehadiran 48 orang peserta dari SK Sogo-Sogo dan SK Kiandongo. Program yang pada awalnya dirancang untuk diadakan di SK Linayukan banyak memberi input dan rangsangan kepada murid tentang peluang dan bantuan yang akan dihulurkan oleh pihak Yayasan Sabah jika mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR.

Sabtu, Julai 10, 2010

Uniknya SK Kiandongo


Keunikan SK Kiandongo terserlah dengan kewujudan bangunan asalnya merupakan sebuah kawasan ‘workshop’ kayu balak yang pembinaannya menjangkau lebih 40 tahun. Berdirinya SK Kiandongo di atas puncak sebuah bukit dengan cabaran angin ribut dan kawasan sambaran petir memberi inspirasi kepada gurunya betapa tingginya mentaliti mereka. Bangunan bengkel kayu balak yang menjadi bangunan sekolah telah menghimpun sejumlah 94 orang murid pada awal pembukaanya pada tahun 1989. Pada waktu itu, kelas tahun 1 hingga tahun 6 berkongsi telinga dan mata untuk melihat dan mendengar keunikan kelas mereka tanpa pemisah, berlantaikan tanah dan bertingkapkan angin sepoi-sepoi bahasa. Namun keadaan yang unik itu sedikit terhakis, apabila pihak PIBG mula membina dinding setebal 3mm daripada papan lapis sebagai pemisah. Alunan suara guru dan murid di kelas bersebelahan masih berkumandang ibarat bisikan dan dentam-dentum guruh di langit. Keunikan sekolah ini juga menarik dikongsi apabila rumah setingan guru dibina di celah –celah tangki air bersama dinding bangunan sekolah buat penambah ceria kepada komuniti sekolah. Sekali-sekala ribut datang melayang-layangkan bumbung rumah mereka dan kehadiran hujan menjengahkan diri dengan titisan rahmat buat mengujakan jiwa guru-guru di sini.